
MELAKA MEDAN MUSYAWARAH RUNGKAI POLEMIK SEJARAH TANAH MELAYU
BANDARAYA MELAKA 23 September – Melaka bakal menjadi medan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai sejarah, identiti serta pembentukan negara menerusi penganjuran Musyawarah Nasional 3.0 bertemakan ‘Membongkar Polemik Tanah Melayu’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 26 September ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran majlis ilmu tersebut dengan negeri ini yang kaya dengan nilai sejarah penting alam Melayu.
Katanya, Melaka turut menjadi lokasi pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956 selepas kepulangannya dari London yang berlangsung di Banda Hilir.
“Musyawarah Nasional 3.0 ini bukan sekadar seminar, sebaliknya menjadi platform wacana menerusi empat panel berlatar belakang akademik bagi membincangkan serta meneliti pelbagai persoalan berkaitan sejarah Tanah Melayu berdasarkan fakta, dokumen dan sumber sejarah.
“Antara perkara yang bakal diberi perhatian termasuk perkembangan struktur politik dan masyarakat sebelum merdeka, kedudukan Raja-Raja Melayu, Malayan Union, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948, proses menuju kemerdekaan 1957 serta pembentukan Malaysia pada 1963.
“Penganjuran ini turut menekankan kepentingan membezakan antara fakta sejarah, tafsiran sejarah dan persepsi politik semasa supaya peristiwa tidak dilihat berdasarkan satu naratif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Melaka FM bagi mempromosikan Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Musyawarah Nasional 3.0 merupakan kesinambungan daripada Musyawarah Nasional 2.0 yang berlangsung pada Ogos lalu dengan perbincangan bertemakan ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’.
Jelasnya, penganjuran kali ini pula membawa perbincangan kepada persoalan lebih mendasar berkaitan sejarah Tanah Melayu, identiti, bahasa, budaya, Perlembagaan dan pembentukan negara, selain membuka ruang kepada sarjana Melayu dan bukan Melayu untuk berkongsi pandangan.
“Antara hasil yang diharapkan daripada musyawarah berkenaan termasuk membuka ruang dialog nasional, mendokumentasikan pandangan sarjana, membantu masyarakat memahami sejarah berdasarkan sumber serta mendekatkan generasi muda dengan sejarah.
“Gagasan yang lahir daripada perbincangan itu juga berpotensi dikembangkan melalui penyelidikan, penerbitan, pendidikan, program generasi muda dan wacana susulan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


