‘JENGGO’ LUBOK CHINA LAIN DARIPADA YANG LAIN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 25 September – Udang galah yang menjadi antara hasil sungai utama di Lubok China bukan sahaja membantu menjana pendapatan komuniti nelayan, malah dikatakan mempunyai rasa tersendiri dengan isi yang manis dan padat berbanding hasil dari lokasi lain.

Dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Si Jenggo’, udang galah berkenaan boleh diperoleh sepanjang musim dan menjadi antara hasil sungai yang mendapat permintaan, termasuk dalam kalangan pengunjung yang mahu menikmati hidangan segar dari sungai.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok China, Zainuddin Maulud berkata, hasil berkenaan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya nelayan yang menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan.

“Di sini udang galah boleh diperoleh sepanjang musim dan hasilnya amat membantu penduduk, terutamanya nelayan.

“Udang galah di sini boleh dikatakan agak istimewa kerana mempunyai keunikan rasa berbeza dari tempat lain apabila rasanya lebih manis dan isinya lebih padat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, keistimewaan berkenaan lebih mudah dirasai oleh mereka yang sudah biasa menikmati udang galah dari Lubok China kerana dapat membezakan rasa hasil sungai tersebut dengan kawasan lain.

“Kalau mereka yang sudah dan selalu makan udang galah Lubok China, mereka dapat bezakan rasa antara udang galah Lubok China dengan kawasan lain.

“Keenakan ini dikaitkan dengan keadaan ekosistem sungai yang menerima pertemuan air laut dan air tawar, termasuk aliran air dari Kuala Sungai Baru menuju Lubok China,” katanya.

Menurut Zainuddin, selain mendapatkan udang galah segar daripada nelayan, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan berasaskan hasil sungai berkenaan di beberapa lokasi sekitar Lubok China.

“Antaranya di Jeti Ramuan China Kecil yang menyediakan menu seperti mi rebus dan mi bandung menggunakan udang galah sebagai bahan utama, selain di Jeti Telok Berembang.

“Selain menyumbang kepada pendapatan komuniti nelayan setempat, keunikan udang galah Lubok China juga berpotensi diketengahkan sebagai tarikan agro-pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post LAMA MENYEPI, IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAKA BANGKIT JADI JUARA DEBAT
Next post MENARA TAMING SARI TARIK SEGMEN PELANCONG BERBEZA