
PENDIDIKAN JADI ASAS LAHIR PEMIMPIN PELAPIS MASA DEPAN MELAKA
PENGKALAN BATU 25 September – Kecemerlangan pendidikan menjadi antara asas penting dalam melahirkan barisan pemimpin pelapis bagi menerajui Melaka pada masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, generasi muda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini perlu diberikan bimbingan serta tunjuk ajar sebagai persediaan untuk mencapai kecemerlangan pendidikan.
Atas faktor itu, katanya, Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka MeSRa Pendidikan SPM dan STPM 2026 bagi menyuntik semangat serta motivasi kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan.
Jelasnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan Melaka terus mempunyai generasi pelapis yang berpendidikan tinggi dan mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan pada masa akan datang.
“Program ini ialah kita memberikan nasihat, tunjuk ajar kepada generasi yang akan datang dalam mereka mendepani peperiksaan SPM dan STPM tahun 2026.
“Ini sangat penting supaya Melaka dapat dilihat dan melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis masa depan dengan kecemerlangan pendidikan pada peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka MeSRa Pendidikan SPM & STPM 2026 di Manipal University College Malaysia (MUCM) Melaka Campus, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.
Terdahulu, program itu disertai 308 calon SPM, 220 calon STPM serta 95 guru pembimbing secara fizikal, manakala, seramai 11,415 calon SPM 2026 pula mengikutinya secara dalam talian menerusi saluran YouTube dan Google Meet.
Ab Rauf berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, TAPEM dan MUCM dalam menjayakan program berkenaan memberi ruang kepada generasi muda untuk mendapatkan bimbingan serta persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.
“Usaha menghimpunkan pelajar dalam program seumpama ini juga membuktikan komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pendidikan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, kecemerlangan akademik generasi muda perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan kelompok yang bakal mengisi pelbagai bidang profesional dan seterusnya menjadi barisan pelapis kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


