DUA LAGI TABIKA AUTISME KEMAS DIBUKA DI MELAKA JANUARI DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 27 September – Dua lagi Tabika Autisme Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan dibuka di Melaka mulai Januari depan.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, langkah itu bagi memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak dalam spektrum autisme tahap ringan.

Katanya, pembukaan dua tabika tersebut merupakan peluasan daripada pelaksanaan projek rintis yang sebelum ini dimulakan di tiga lokasi di Melaka.

“Persiapan bagi pembukaan kelas terbabit kini giat dilaksanakan termasuk latihan guru, baik pulih kelas dan perolehan peralatan.

“Bermula Januari ini, dua daerah yang belum ada Tabika Autisme akan kita buka di Melaka.

“Untuk tujuan persiapan itu, latihan guru telah pun dijalankan, baik pulih kelas juga telah dilaksanakan di samping perolehan peralatan untuk kelas autisme ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka (FESMA) di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Festival itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Hanafiah berkata sebanyak 132 Tabika Autisme akan dibuka di seluruh Malaysia yang mana peluasan Tabika Autisme itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 2,000 kanak-kanak autisme dalam negara.

Katanya, walaupun permohonan untuk mengikuti kelas berkenaan adalah tinggi, jumlah murid bagi setiap kelas perlu dihadkan antara 10 hingga 15 orang bagi memastikan pengurusan dan pengajaran dapat dilaksanakan mengikut standard ditetapkan.

“Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita melakukan saringan dan kita cuma dapat menampung satu kelas tidak lebih daripada 10 hingga 15 orang sahaja.

“Setiap kelas akan ada tiga orang guru, dengan seorang guru menjaga antara lima hingga tujuh anak yang terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post RM210,000 BANTU 50 PESERTA KEMAS JANA PENDAPATAN