
KEPUASAN HATI RAKYAT UKURAN UTAMA KEJAYAAN MBMB – SHADAN
AYER KEROH 29 September – Prestasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bukan hanya diukur berdasarkan projek besar yang dilaksanakan, sebaliknya turut melibatkan kepuasan hati rakyat terhadap mutu perkhidmatan disediakan.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, rakyat turut menilai pengalaman mereka ketika berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam menyelesaikan pelbagai urusan harian.
“Semua warga kerja perlu memberi perhatian terhadap mutu penyampaian perkhidmatan selaras dengan tanggungjawab MBMB dalam memenuhi pelbagai keperluan bandaraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB Bil. 9/2026 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff dan Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Mustafa Mohamed Baboo.
Shadan berkata, fungsi MBMB merangkumi perancangan bandar, pengurusan projek, kawalan pembangunan, penilaian dan pengurusan hartanah, kebersihan awam, pelesenan, kewangan, komunikasi korporat serta khidmat pelanggan.
“Setiap bahagian mempunyai peranan dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat sentiasa responsif dan memenuhi keperluan mereka.
“Komitmen seluruh warga kerja penting bagi memastikan MBMB kekal relevan, responsif dan berprestasi tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


