PEMBINAAN MICT PERLU IKUT SPESIFIKASI, STANDARD KESELAMATAN DITETAPKAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 6 Oktober – Kerajaan Negeri mahu pembinaan setiap komponen Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta garis masa yang telah dipersetujui.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan segala perkara yang memerlukan tindakan jabatan dan agensi dapat diselaraskan dengan baik.

“Setakat 3 Oktober lalu kerja-kerja menanam cerucuk bagi projek itu sudah mencapai 56 peratus. Sebanyak 170 cerucuk sudah siap ditanam manakala kerja-kerja bagi menanam baki 134 cerucuk lagi dijangka siap menjelang pertengahan November depan.

“Perkembangan itu amat penting dalam memastikan pembangunan terminal itu bergerak pada landasan ditetapkan dan mengikut perancangan. Pembangunan MICT merangkumi beberapa komponen utama termasuk ‘L-shaped jetty’, ‘T-shaped jetty’ serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Bagi komponen L-shaped jetty, pihak pemaju menyasarkan pembinaannya siap pada akhir 2027 sebelum mula beroperasi pada awal tahun 2028. Sementara itu, T-shaped jetty dan Kompleks CIQ pula dijangka siap pada 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Tapak Projek MICT di Melaka Gateway, Pulau Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif KAJ Development (KAJD) Tan Sri Dr. Daing A.Malek A Rahaman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, lawatan bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ke tapak projek itu penting bagi menilai sendiri kemajuan sebenar pembangunan yang telah mula dilaksanakan pada 2022.

Menurutnya, penilaian di tapak juga membolehkan perkara yang masih memerlukan perhatian dikenal pasti supaya projek berkenaan terus bergerak mengikut perancangan ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

873
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: UMNO MELAKA MASIH TUNGGU SENARAI PENUH NAMA CALON
Next post MeSRa SUKAN: MELAKA BINA ‘JUARA’ DARI AKAR UMBI