
MAPEX MELAKA 2026 TAWAR LEBIH 59 PROJEK HARTANAH, HARGA SERENDAH RM90,000
BANDARAYA MELAKA 7 Oktober – Ekspo Hartanah dan Perumahan Melaka (MAPEX Melaka) 2026 menawarkan lebih 59 projek pembangunan hartanah menerusi penyertaan Perbadanan PR1MA Malaysia dan 11 pemaju swasta sepanjang enam hari penganjurannya bermula semalam.
Bertempat di Main Centre Court, AEON Melaka Shopping Centre, ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka itu menghimpunkan 12 reruai pameran yang menawarkan pelbagai pilihan hartanah dengan harga antara RM90,000 hingga RM3.79 juta.
Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ngoh Chun How berkata, penganjuran MAPEX menjadi platform kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada pemaju selain membuat perbandingan terhadap pilihan hartanah yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan masing-masing.
“MAPEX Melaka memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pelbagai projek hartanah yang sedang dibangunkan, termasuk pilihan rumah mampu milik,” katanya pada perasmian ekspo
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.
Menariknya, pembeli yang membuat tempahan hartanah sepanjang tempoh MAPEX Melaka 2026 berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan RM5,000, dengan RM1,000 ditawarkan kepada lima pembeli yang layak.
MAPEX Melaka 2026 berlangsung sehingga 11 Oktober ini dan dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Ekspo berkenaan turut menjadi ruang untuk pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan projek, lokasi, harga serta tawaran yang disediakan pemaju sebelum membuat keputusan pembelian hartanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


