
PRN MELAKA: 687,697 LAYAK MENGUNDI
KOTA LAKSAMANA 7 Oktober – Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijadual pada 14 November 2026
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan jumlah itu adalah berdasarkan Daftar Pemilih terkini SPR yang dikemas kini pada 22 September 2026.
Daripada jumlah itu seramai 675,166 orang merupakan pengundi biasa manakala 9,769 merupakan tentera dan pasangan serta 2,762 merupakan anggota polis.
PRN Melaka Ke-16 melibatkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan menyaksikan rakyat negeri itu memilih Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
PRN Melaka Ke-16 diadakan susulan pembubaran DUN Melaka Ke-15 pada 23 September lalu.
Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN memenangi kerusi di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Lima kerusi dimenangi PH ialah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN memenangi Sungai Udang dan Bemban.
PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


