KPDN MELAKA TUMPAS 12 KES SELEWENG MINYAK MASAK SUBSIDI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PAYA RUMPUT 8 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan 18 kes berkaitan minyak masak di negeri ini setakat Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, daripada jumlah itu, 12 daripadanya merupakan kes penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dikhususkan untuk rakyat.

Meskipun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, namun ujarnya, kegiatan penyelewengan masih berlaku dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan bekalan berkenaan sampai kepada golongan sasaran.

Katanya, pihaknya tidak akan berputus asa dalam mengesan dan memutuskan rantaian kegiatan penyelewengan berkenaan tanpa mengira tempoh masa yang diperlukan.

“Kami berjanji sepanjang mana tempoh sekalipun, tak kiralah berapa bulan atau berapa minggu, kes yang melibatkan penyelewengan minyak masak di negeri Melaka ini tetap kami akan cari sampai ke lubang cacing dan kami selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kejayaan KPDN Melaka menumpaskan satu lagi kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi menerusi serbuan di sebuah kediaman di Taman Merdeka, Batu Berendam.

Dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 45 dan 53 tahun ditahan selepas kegiatan mereka dipercayai dikesan menerusi risikan selama dua bulan.

Dalam operasi berkenaan, KPDN merampas 425 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM1,062.50 selain menyita tong, jerikin dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Dr. Mohd Hazimin berkata, KPDN Melaka akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negeri ini.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan aduan sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi di kawasan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENIAGA IDAM EKOSISTEM PERNIAGAAN LEBIH BAIK
Next post MeSRA: MELAKA BINA EKOSISTEM EKONOMI, CIPTA PELUANG UNTUK RAKYAT