
MeSRA: MELAKA BINA EKOSISTEM EKONOMI, CIPTA PELUANG UNTUK RAKYAT
AYER KEROH 8 Oktober – Melaka memperkukuh ekosistem ekonominya dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada kemasukan pelaburan, sebaliknya memperkemas pengurusan tanah, mempercepat urusan kelulusan, menyediakan kawasan industri baharu serta memperluas jaringan logistik dan kerjasama wilayah.
Pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti dan penglibatan perusahaan tempatan supaya kemasukan pelaburan dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih luas kepada rakyat.
HASIL TANAH DIPERKUKUH
Antara asas yang diberi perhatian ialah pengurusan hasil tanah yang menjadi antara sumber penting kewangan negeri.
Bagi tempoh 2023 hingga Februari 2026, kutipan tunggakan cukai tanah dan petak mencecah RM28.6 juta, manakala RM8.8 juta diberikan dalam bentuk diskaun.
Dalam Belanjawan Melaka 2025, Kerajaan Negeri turut menawarkan diskaun 10 peratus bagi tunggakan cukai tanah kepada pemilik yang menjelaskan bayaran sebelum 31 Mei 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasil tanah menyumbang 63 peratus daripada kutipan hasil Negeri Melaka, menjadikan pengurusan tanah secara cekap antara aspek penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
Kerajaan Negeri turut melaksanakan kerjasama awam swasta menerusi Sistem e-Tanah, selain menawarkan diskaun lima peratus bagi bayaran premium tanah yang diterima dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh Borang 5A dikeluarkan.
PERMUDAH PELABUR, PENDEK PROSES KELULUSAN
Usaha menarik pelaburan turut disokong melalui Melaka Industrial Booster (MIB) yang diperkenalkan pada 2023 sebagai pusat sehenti bagi memudah cara kemasukan pelabur.
Menerusi MIB, proses permohonan kelulusan pelan pemajuan di peringkat pihak berkuasa tempatan dipendekkan daripada 12 peringkat kepada enam peringkat, manakala tempoh proses dikurangkan daripada 180 hari kepada 30 hari.
Sejak diperkenalkan, MIB memudahkan urusan permohonan projek melibatkan pelaburan melebihi RM400 juta dengan penyelarasan membabitkan 29 agensi kerajaan.
Pada masa sama, Invest Melaka diperkasakan sebagai pusat pemudah cara dan pembangunan pelaburan, manakala Sekretariat Melaka Industrial Booster berperanan sebagai ‘First Point of Contact’ bagi urusan kemudahan pelaburan negeri.
TANAH INDUSTRI BUKA RUANG EKONOMI BAHARU
Keperluan tanah bagi menyokong pertumbuhan sektor industri turut diberi perhatian menerusi perancangan tiga kawasan perindustrian berteknologi tinggi iaitu MCorp Hi Tech Park seluas 5,000 ekar, German Technology Park (900 ekar) dan Elkay 2.0 Jasin (601.7 ekar).
Kementerian Ekonomi sebelum ini meluluskan RM4.4 juta bagi kerja-kerja awalan pembangunan tiga kawasan berkenaan.
Pembangunan kawasan itu dirancang bagi memenuhi keperluan pelabur serta membuka ruang kepada usahasama dan pembangunan industri sehingga ke peringkat global.
PELABURAN DITERJEMAH KEPADA PEKERJAAN
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, Melaka merekodkan 723 projek dengan jumlah pelaburan tempatan dan antarabangsa sebanyak RM28.96 bilion.
Daripada jumlah itu, pelaburan berkenaan diunjurkan mewujudkan 25,100 peluang pekerjaan.
Angka tersebut menunjukkan kepentingan memastikan kemasukan pelaburan bukan hanya diukur berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk, tetapi turut dilihat melalui peluang pekerjaan dan kesan kepada rantaian ekonomi tempatan.
EKOSISTEM INDUSTRI DIPERLUAS
Antara projek yang menjadi sebahagian daripada pengembangan ekosistem industri Melaka ialah Melaka Halal Hub 2.0 bernilai RM35 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 47 ekar.
Projek itu merangkumi 64 lot bangunan industri dan 17 lot tapak industri serta dijangka siap pada 2027.
Melaka Halal Hub 2.0 dijangka menarik pelaburan sehingga RM100 juta dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan, selain menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pelabur strategik serta 45 usahawan tempatan.
Dalam sektor maritim pula, projek Enrique of Malacca Shipyard di Klebang membabitkan kos pembangunan RM180 juta dengan unjuran nilai pembangunan sebanyak RM1.8 bilion serta potensi menyediakan 1,500 peluang pekerjaan.
Limbungan itu dirancang sebagai hab pembinaan kapal serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk Malaysia dan rantau ini.
MELAKA INLAND PORT PACU LOGISTIK
Melaka turut memperluas infrastruktur logistik menerusi pembangunan Melaka Inland Port (MIP) di Mukim Taboh Naning, Alor Gajah.
MIP dibangunkan di atas tanah seluas 52.892 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM230.8 juta.
Projek itu merupakan sebahagian daripada MCorp Hi-Tech Park seluas 5,000 ekar dan terletak berhampiran Stesen Keretapi Pulau Sebang, yang menjadi antara komponen dalam ekosistem pengangkutan rel Melaka.
Perjanjian pajakan projek berkenaan melibatkan tempoh 30 tahun dengan Kerajaan Negeri melalui MCORP memegang 12.5 peratus ekuiti.
PEMBANGUNAN RENTAS NEGERI
Melaka turut memperluas potensi ekonomi melalui kerjasama wilayah menerusi cadangan Zon Ekonomi Anjung Selatan (ZEAS) yang melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Cadangan itu memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian.
Empat projek utama dikenal pasti bagi menyokong ZEAS iaitu West Coast Expressway (WCE), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), zon ekonomi tiga negeri serta Jelapang Padi Anjung Selatan.
Pendekatan sama turut diperluas menerusi Kluster Perindustrian Wilayah Tengah yang melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan, logistik, makmal pengujian, institusi pengajian tinggi serta jaringan inovasi.
RAKYAT DAN PEMILIK HARTANAH TURUT DIBERI PERHATIAN
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah mengurangkan beban pemilik hartanah melalui penghapusan caj perkhidmatan serta denda lewat bayar cukai pintu dengan implikasi kewangan sebanyak RM5.5 juta.
Langkah itu melengkapkan usaha memperkukuh kutipan hasil sambil memberi ruang kepada rakyat dan pemilik hartanah memenuhi tanggungjawab kewangan masing-masing.
EKOSISTEM EKONOMI MELAKA SEMAKIN BERSEPADU
Keseluruhan pendekatan berkenaan menunjukkan pembangunan ekonomi Melaka merangkumi beberapa rantaian yang saling berkait, daripada penyediaan tanah dan pemudahcaraan pelaburan kepada pembangunan kawasan industri, logistik serta pengembangan sektor strategik.
Pada masa sama, kerjasama antara negeri melalui ZEAS dan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah membuka ruang kepada Melaka memanfaatkan kekuatan ekonomi kawasan sekitarnya.
Dengan 723 projek bernilai RM28.96 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025 yang diunjurkan mewujudkan 25,100 peluang pekerjaan, tumpuan seterusnya ialah memastikan manfaat pelaburan turut dirasai melalui peluang pekerjaan, penglibatan usahawan serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


