ECO CRUISE BAWA PELANCONG, PENDUDUK KAMPUNG TUAI REZEKI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER LIMAU 10 Oktober – Kehadiran produk pelancongan Eco Cruise Sungai Linggi bukan sahaja menawarkan pengalaman menikmati keindahan alam semula jadi kepada pelancong, malah membuka peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan kecil-kecilan.

Bagi peniaga, Sa’adiah Hashim, 62, peningkatan jumlah pengunjung ke Jeti Paya Lebar memberi ruang kepadanya menjual makanan dan minuman ringan hasil olahannya sendiri kepada pengunjung.

Menurutnya, sambutan menggalakkan terhadap perkhidmatan Eco Cruise, khususnya ketika musim cuti sekolah, turut memberi tempias positif kepada peniaga tempatan apabila lebih ramai pengunjung hadir ke kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, sekarang memang ramai. Pengunjung boleh buat tempahan atau datang terus (walk-in), jadi apabila ramai yang datang menaiki Eco Cruise, kami peniaga di sini pun dapat merasai manfaatnya.

“Lebih-lebih lagi apabila ada promosi istimewa ketika cuti panjang, jumlah pengunjung semakin bertambah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sa’adiah berkata, sebagai antara pelopor perniagaan di lokasi itu, dia melihat kemajuan di kawasan itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan penduduk Kampung Paya Lebar dan kawasan sekitar, malah turut menghidupkan suasana pelancongan setempat.

“Bila berniaga, kita dapat jumpa ramai orang dan kawasan ini pun jadi lebih meriah. Ada pengunjung dari luar negara termasuk Singapura dan Indonesia.

“Bagi kami penduduk tempatan, peluang seperti ini sangat membantu dan secara tidak langsung boleh memberi ruang kepada generasi seterusnya untuk terus mencari rezeki di sini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU BAKAL MILIKI SEKOLAH AGAMA BERASRAMA PENUH
Next post ZON BEBAS KENDERAAN LUBUK REZEKI 200 PENIAGA