KOPERASI MRSM TUN GHAFAR BABA CIPTA MODEL BAHARU ‘KEDAI SEKOLAH’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDA HILIR 11 Oktober – Daripada menjual keperluan harian pelajar hingga menyediakan perkhidmatan dobi, makanan dan gunting rambut, Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba Melaka Berhad terus memperluas perniagaannya berdasarkan keperluan warga sekolah.

Setiausaha Koperasi MRSM Tun Ghafar Baba Melaka Berhad, Ruzalina Mohd Shah, 37, berkata pendekatan itu membolehkan koperasi berkenaan bergerak melangkaui fungsi tradisional koperasi sekolah, sekali gus menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelajar khususnya yang tinggal di asrama.

Katanya, antara kemudahan utama yang disediakan ialah CoopMart yang menawarkan barangan harian dan keperluan pelajar.

“Kami ada CoopMart yang menjual barangan harian dan keperluan pelajar kerana kebanyakan pelajar kami tinggal di asrama.

“Selain itu, kami mempunyai kios kontena yang menyediakan makanan bermasak untuk pelajar, manakala pada sebelah petang hingga malam, kios berkenaan disewakan kepada peniaga luar menerusi konsep ‘The Night Kitchen’,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Ruzalina, koperasi berkenaan turut menyediakan kemudahan dobi layan diri bagi memudahkan pelajar asrama mencuci dan mengeringkan pakaian tanpa perlu keluar dari kawasan sekolah.

Malah, koperasi itu kini dalam proses menyediakan perkhidmatan gunting rambut yang dijangka mula beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Perkhidmatan ini diadakan bagi memudahkan pelajar lelaki mendapatkan khidmat gunting rambut tanpa perlu keluar dari kawasan sekolah, terutama pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, kepelbagaian perkhidmatan itu tercetus daripada usaha pihak koperasi memahami keperluan pelajar dan mencari ruang untuk mengembangkan operasi secara berperingkat.

“Kita kena kreatif, tambah lagi perkhidmatan dan bergerak bersama-sama. Yang penting ialah kerjasama, berkongsi idea dan sama-sama menguruskan koperasi,” katanya.

Hasil ekosistem kreatif itu, koperasi berkenaan diangkat sebagai Koperasi Sekolah Terbaik pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK’26) Negeri Melaka dan anugerah itu disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu menjadi pembakar semangat untuk koperasi berkenaan terus memperluas model perniagaan yang memberi manfaat secara langsung kepada pelajar.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan gembira dengan anugerah ini. Semoga ia menjadi peluang dan ruang untuk kami terus maju serta menggerakkan koperasi dengan lebih aktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

727
Kongsi :
Previous post MeSRa: DARI LATIHAN KE MODAL, MELAKA LAHIR USAHAWAN ‘PERKASA’
Next post TOK RAIS BAWA JUALAN MURAH KE 10 LOKASI DI DUN SUNGAI UDANG