
DIANA BELUM MAKAN LEPAS LAHIRKAN 10 ANAK
AYER KEROH 11 Oktober – Induk anakonda hijau betina diberi nama Diana masih belum makan selepas melahirkan 10 anak pada 5 Oktober lalu.
Atas faktor itu spesies ular terbesar dunia itu kini diberi keutamaan kepada proses pemulihan serta penjagaan rapi oleh pihak pengurusan Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka.
Pengarah Urusan Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, Diana yang berukuran 2.74 meter masih berada dalam keadaan kurus dan lemah selepas melahirkan anaknya.
Menurutnya, pihak taman merancang memberikan makanan dalam saiz lebih kecil mulai minggu depan bagi membantu Diana kembali makan selepas hampir tujuh bulan.
“Diana belum makan lagi. Kita akan mula memberikan makanan mungkin minggu depan, tetapi saiznya lebih kecil daripada makanan yang biasa diberikan sebelum bunting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di taman haiwan itu.
Sementara itu, menurutnya, kesemua 10 anakonda yang dilahirkan dilaporkan berada dalam keadaan baik, namun seekor daripadanya mengalami masalah pada mata dan memerlukan pemantauan lanjut.
Gerard berkata, setiap anakonda ditempatkan secara berasingan bagi membolehkan penjaga memantau serta merekodkan perkembangan masing-masing, termasuk pengambilan makanan dan air serta proses penyalinan kulit.
Katanya, anakonda berkenaan lazimnya akan melalui proses penyalinan kulit selepas kira-kira satu hingga satu setengah bulan sebelum pihaknya mencuba memberikan makanan pertama.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merancang menganjurkan program khas atau karnival bagi membolehkan orang ramai mengenali anakonda berkenaan dengan lebih dekat apabila keadaan kesihatan haiwan itu mengizinkan.
Bagaimanapun, ujarnya, tarikh itu masih belum boleh ditetapkan kerana kesihatan dan proses pemulihan haiwan berkenaan perlu diutamakan sebelum sebarang aktiviti bersama pengunjung dilaksanakan.
Menurutnya, anakonda berkenaan perlu kekal dalam persekitaran terkawal dan tidak boleh didedahkan kepada orang ramai untuk tempoh yang lama bagi memastikan penjagaan serta perkembangannya tidak terganggu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

