
MeSRa: DARI LATIHAN KE MODAL, MELAKA LAHIR USAHAWAN ‘PERKASA’
AYER KEROH 11 Oktober – Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi pelbagai program pembangunan modal insan, latihan, pemasaran digital dan akses pembiayaan bagi membantu usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Dalam tempoh tiga tahun pentadbiran di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, komitmen itu diterjemahkan menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi tumpuan kepada pengupayaan peniaga dan usahawan di negeri ini.
USAHAWAN DAPAT SOKONGAN MENYELURUH
Menerusi Program Keusahawanan Melaka, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan lebih 15 program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada 4,300 usahawan.
Tidak hanya itu, Melaka turut menyediakan sebuah pusat sehenti bagi memudahkan rakyat yang berminat menceburi bidang keusahawanan mendapatkan khidmat nasihat, memulakan perniagaan serta memperoleh akses kepada modal.
Pusat sehenti itu menghimpunkan perkhidmatan pelbagai agensi secara berpusat di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan usahawan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan.
PEMASARAN DIGITAL JADI KOMPONEN PENTING
Dalam memperkukuh keupayaan usahawan mendepani perubahan landskap perniagaan, aspek pemasaran digital turut diberi perhatian menerusi pelbagai program latihan.
Antaranya, Program E-Usahawan Modular TikTok TEKUN yang melatih 88 usahawan bagi membantu mereka menguasai pemasaran digital serta meneroka pasaran dalam talian dengan lebih meluas.
Pada masa sama, TEKUN turut memperkukuh asas keusahawanan menerusi penganjuran Seminar Asas Keusahawanan yang merekodkan penyertaan 694 usahawan.
CORAK USAHAWAN MASA DEPAN
Pembangunan ekosistem keusahawanan tidak hanya tertumpu kepada peniaga sedia ada, sebaliknya turut memberi ruang kepada generasi muda untuk membina asas sebagai usahawan baharu.
Menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), dana RM240,000 disalurkan kepada 13 belia pada 2025, sebelum ditingkatkan kepada RM300,000 untuk manfaat 18 belia pada 2026.
Pendekatan berterusan menerusi MeSRa itu memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri bukan sekadar membantu usahawan mendapatkan latihan dan pembiayaan, tetapi turut membina kemahiran, memperluas akses pasaran serta menyediakan laluan kepada generasi pelapis.
Keseluruhannya, usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kapasiti usahawan tempatan agar lebih bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan sosioekonomi Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

