55.5KG SISA DIKUTIP DI PULAU MELAKA, SWM PUPUK BUDAYA BERSIH

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 10 Oktober – Sebanyak 55.5 kilogram sisa berjaya dikutip menerusi program Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day) 2026 anjuran SWM Environment Sdn Bhd di Pulau Melaka, sekali gus memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Program yang menghimpunkan kira-kira 60 peserta daripada pelbagai latar belakang itu melibatkan aktiviti pembersihan sepanjang tiga kilometer, bermula dari hadapan Masjid Selat Melaka hingga ke kawasan rumah kedai di sekitar pulau berkenaan.

Sisa yang dikutip sepanjang aktiviti lebih sejam itu diasingkan mengikut kategori, termasuk plastik, kertas, botol kaca dan sisa yang tidak boleh dikitar semula.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada jumlah sisa yang berjaya dikutip, sebaliknya membawa mesej penting mengenai usaha mencegah pencemaran sejak dari punca.

“Kita tidak mahu budaya kebersihan hanya tertumpu kepada aktiviti membersihkan kawasan selepas sisa dibuang. Sebaliknya, kita mahu membina budaya di mana setiap individu memahami bahawa tindakan kecil seperti mengurangkan penggunaan, mengasingkan sisa dan membuang sisa di tempat yang betul mempunyai kesan besar terhadap kelestarian persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan sisa yang sistematik juga mampu memberi nilai tambah apabila bahan buangan yang sesuai dapat dikitar semula dan dikembalikan ke dalam kitaran ekonomi.

Program itu turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik, termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).

Turut menjayakan program berkenaan ialah PDG Group, CSC Steel, Melaka Hari Ini, Persatuan Wartawan Melaka (MJA) serta Prigel Ventures Sdn Bhd.

Mohd Norlisam berkata, data kutipan daripada program pembersihan perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk sebagai petunjuk untuk memahami keadaan persekitaran dan tahap kesedaran masyarakat.

Menerusi penganjuran berterusan itu, SWM Environment mahu mengalihkan tumpuan masyarakat daripada sekadar aktiviti pembersihan atau ‘clean-up’ kepada pembentukan budaya bersih atau clean culture” yang diamalkan secara konsisten dalam kehidupan seharian.

Usaha itu diharap dapat menyemai rasa tanggungjawab bersama terhadap kebersihan persekitaran, sekali gus menyokong kelestarian Melaka untuk generasi akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3631
Kongsi :
Previous post TIADA ZON BEBAS KENDERAAN, PENDAPATAN PENIAGA BOLEH TERJEJAS
Next post MeSRa TVET: MELAKA BINA BAKAT UNTUK INDUSTRI MASA DEPAN