
TOK RAIS BAWA JUALAN MURAH KE 10 LOKASI DI DUN SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 11 Oktober – Sebanyak 10 lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menjadi tumpuan pelaksanaan Jualan Sayang Rakyat yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga rendah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan penduduk setempat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, program itu dilaksanakan secara berperingkat dengan dua lokasi sudah selesai, manakala lapan lagi akan menyusul.
Beliau yang juga mantan Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, jualan pertama berlangsung di Bertam Hulu, sebelum diteruskan di Taman Terendak Permai.
Menurutnya, antara barangan ditawarkan ialah ayam pada harga RM5 seekor, daging RM25 sekilogram serta pelbagai barangan makanan asas lain.
“Alhamdulillah, di setiap lokasi sambutan yang kita terima amat menggalakkan. Seperti contoh di Taman Terendak Permai, 500 kupon ayam RM5 yang kita agihkan habis tidak sampai satu jam.
“Kita sehabis baik mahu semua merasai nikmat jualan murah ini, namun saya mohon maaf jika ia tidak mencukupi kerana setiap lokasi saya hanya dapat membawa 500 ekor ayam sahaja, tetapi kita akan pergi lagi ke kawasan-kawasan lain selepas ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni penduduk pada Jualan Sayang Rakyat Sungai Udang Kampung Kita di Padang Taman Terendak Permai, di sini, hari ini.
Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, lokasi setiap Jualan Sayang Rakyat itu akan mengambil kira kepadatan penduduk bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat program berkenaan.
Beliau berkata, lapan lokasi seterusnya akan diumumkan menerusi media sosial beliau Rais Yasin dan jualan seterusnya dijadual akan diadakan di Kampung jualan dijadualkan berlangsung di Dewan ADC PARUJAS Paya Rumput Jaya pada Jumaat depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

