PERZIM KAJI PENDEKATAN BAHARU NAIK TARAF PAMERAN MUZIUM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 11 Oktober – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengumpulkan idea dan input baharu menerusi lawatan penanda aras ke lima muzium dan galeri di Johor bagi menambah baik pengurusan serta peragaan pameran di Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata lawatan pada 29 dan 30 September lalu itu bertujuan mendapatkan pendedahan serta perkongsian input berkaitan pengurusan muzium dan galeri.

“Lawatan pada hari pertama melibatkan kunjungan ke Galeri Seni Johor dan Muzium Tokoh di bawah Yayasan Warisan Johor bagi meninjau pendekatan digunakan dalam peragaan koleksi, penyampaian maklumat kepada pengunjung serta pengendalian ruang pameran.

“Pada hari kedua, rombongan meneruskan lawatan ke Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muzium Kota Tinggi dan Galeri Bukit Kepong bagi mendapatkan perspektif mengenai pengurusan, penyusunan koleksi, penyampaian sejarah serta pengalaman ditawarkan kepada pengunjung.

“Input yang diperoleh menerusi lawatan itu bertujuan membantu PERZIM mengenal pasti pendekatan yang boleh disesuaikan bagi penambahbaikan muzium dan galeri di Melaka,” katanya.

WhatsApp Image 2026 10 09 at 3.08.41 PM
KAKITANGAN PERZIM semasa mengadakan lawatan penanda aras ke muzium dan galeri sekitar Negeri Johor. Foto Facebook Muzium dan Galeri Melaka

Erne berkata tumpuan khusus diberikan kepada usaha menaik taraf pameran dan peragaan Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka supaya koleksi serta bahan pameran dapat diketengahkan dengan lebih menarik, informatif dan dekat dengan pengunjung.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang dua hari lawatan ini atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pengalaman sepanjang lawatan.

“Hubungan dan perkongsian ilmu yang terjalin diharap dapat diteruskan bagi membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara PERZIM dengan institusi muzium dan galeri di Johor pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post TOK RAIS BAWA JUALAN MURAH KE 10 LOKASI DI DUN SUNGAI UDANG
Next post SEKOLAH DI MELAKA BEROPERASI SEPERTI BIASA ESOK