BELANJAWAN 2027: GAJI MINIMUM NAIK RM2,000 BERMULA JUN 2027

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan kadar baharu itu bagaimanapun mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Kadar ini berkuat kuasa mulai Jun 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja menerusi penetapan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Menurutnya, langkah itu penting kerana kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras terendah pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan juga menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.

Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.

“Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum, menetapkan gaji minimum pekerjaan separa mahir dan graduan dan menaikkan gaji penjawat awam. GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan.

“Oleh itu, saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama,” katanya.

Bagi memperkukuh pematuhan undang-undang berkaitan penggajian, kerajaan turut menetapkan syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya bayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Langkah itu bertujuan menutup ruang kepada majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, manakala potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk kepada syarat berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2027: STR DAN SARA NAIK RM16 BILION, 13 JUTA RAKYAT TERIMA MANFAAT
Next post BELANJAWAN 2027: PAYA RUMPUT ANTARA EMPAT LOKASI PROJEK PRR BAHARU