BELANJAWAN 2027: MELAKA BAKAL MILIKI PUSAT PERMATA KURNIA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Melaka antara dua negeri dipilih untuk pembinaan Pusat Permata Kurnia baharu yang menyediakan pendidikan, sokongan dan latihan khusus untuk kanak-kanak autistik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebuah lagi pusat berkenaan akan dibina di Pahang sebagai usaha memperluas sokongan kepada kanak-kanak autistik.

“Selain itu, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, dalam usaha memperkukuh sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), kerajaan turut menaik taraf 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kepada Pusat Terapi Khusus bagi memanfaatkan 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.

“Selain itu seramai 3,000 penjaga OKU baharu akan dibekalkan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan golongan berkenaan di seluruh negara.

“Peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU turut ditingkatkan kepada RM1.5 bilion bagi memanfaatkan lebih 300,000 OKU,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga meningkatkan kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan, manakala ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.

“Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan bagi memanfaatkan 150,000 murid, termasuk kanak-kanak autistik.

“Manakala Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan untuk memanfaatkan 20,000 guru pendidikan khas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2027: RM935 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PELANCONGAN DAN BUDAYA
Next post INTI PATI BELANJAWAN 2027