
BELANJAWAN 2027: PENDAPATAN PENGGIAT E-HAILING, P-HAILING DIJANGKA NAIK
KUALA LUMPUR 9 Oktober – Pemandu e-hailing dijangka menikmati peningkatan pendapatan bersih sehingga RM227 sebulan, manakala penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan menerusi pakej bernilai RM160 juta yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2027.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej hasil pembiayaan bersama Kerajaan Persekutuan dan Grab itu akan dilaksanakan mulai 2027 bagi meningkatkan pendapatan bersih serta memperkukuh kebajikan pekerja gig.
“Ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pakej berkenaan turut merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Selain itu, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh perlindungan sosial golongan berkenaan.
“Kadar insentif itu akan meningkat kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Majlis Perundingan Gig sedang mengadakan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial pekerja gig, yang dijangka dimuktamadkan pada awal 2027.
Pakej berkenaan merupakan antara langkah kerajaan menangani cabaran pendapatan dan kos operasi pekerja gig, selain memperluas perlindungan sosial bagi golongan yang bergantung kepada sektor e-hailing dan p-hailing sebagai sumber pendapatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

