
SEKOLAH DI MELAKA BEROPERASI SEPERTI BIASA ESOK
AYER KEROH 11 Oktober – Semua institusi pendidikan di Melaka akan beroperasi semula seperti biasa esok (Isnin, 12 Oktober), susulan perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa yang kini berada di paras sederhana iaitu di bawah bacaan IPU 100.
Beliau berkata, pihak pentadbir institusi pendidikan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi masing-masing, selain mematuhi arahan dan garis panduan semasa yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak berkuasa berkaitan.
“Pengoperasian semula institusi pendidikan mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga pendidikan sentiasa diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya terus memantau tahap kesihatan anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala berkaitan pencemaran udara.
“Sebarang perubahan arahan berhubung pengoperasian institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,” katanya.
Mengikut data Jabatan Alam Sekitar setakat tengah hari tadi, kesemua tiga stesen di Melaka merekodkan bacaan IPU sederhana dengan Bandaraya Melaka pada bacaan IPU 97, Bukit Rambai 94 dan Alor Gajah 92.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


