
YB ALONG SAYANG, JAGA GENERASI KEDUA FELDA BUKIT SENGGEH
ASAHAN 26 Oktober – Selain menyelesaikan isu pemilikan tanah, generasi kedua Felda Bukit Senggeh juga dibantu untuk memiliki kediaman sendiri, sekali gus menjamin kehidupan mereka dan pewaris masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan Generasi Baharu Felda Bukit Senggeh, Azmir Pungut berkata, usaha mendapatkan hak milik tanah itu dimulakan sejak 2022 dengan bantuan dan sokongan penuh daripada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.
Menurutnya, penduduk menerima khabar gembira apabila permohonan itu diluluskan pada Disember 2025 selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk membawa perkara itu kepada pihak pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
“Alhamdulillah, daripada 95 pemohon, 61 penduduk yang sudah menjelaskan bayaran premium kini memiliki geran tanah masing-masing, selebihnya masih dalam proses menyelesaikan baki bayaran.
“Usaha dilakukan ini mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan bantuan wakil rakyat yang begitu komited membantu,” katanya.
Azmir berkata, tidak hanya membantu mendapat kelulusan hak milik tanah tetapi penyandang Adun Asahan itu yang mesra disapa YB Along turut membantu meringankan beban kewangan pemohon, khususnya dalam urusan bayaran premium tanah yang pada awalnya dianggarkan sekitar RM20,000.
“Dengan kadar bayaran mencecah puluhan ribu pastinya ia menjadi bebanan dan halangan untuk pemohon melunaskan dalam masa ditetapkan tetapi beliau memohon kepada Kerajaan Negeri agar dikurangkan jumlah tersebut.
“Selain itu bantuan turut diberikan berkaitan urusan dan syarat pegangan tanah tertentu, termasuk bayaran yang sepatutnya berjumlah RM1,000 dapat dikurangkan kepada RM100,” katanya.
Jelasnya, sokongan berterusan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu penting bagi memastikan lebih ramai pemohon dapat menyelesaikan urusan pemilikan tanah, terutama mereka yang masih berdepan kekangan kewangan.
“Tanpa usaha bersama dan bantuan yang diberikan, mungkin urusan ini mengambil masa lebih lama selain sehingga kini, Fairul Nizam masih membantu kami menyelesaikan perkara yang tertangguh.
“Ia termasuk merangka kerjasama bersama agensi berkaitan bagi membantu pemohon mendapat membina rumah kediaman. Pastinya jasa beliau amat kami hargai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

