PRN MELAKA: TOK HAMEED PELIHARA IKATAN ‘POGHUT’ MESKIPUN BERBEZA PANDANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Ikatan silaturahim yang dibina sepanjang lima tahun dalam kalangan masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau diharap terus terpelihara meskipun wujud perbezaan pandangan dan persaingan pada pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, persaingan dalam pilihan raya tidak seharusnya memutuskan hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Menurutnya, usaha merapatkan hubungan penduduk menerusi slogan ‘Poghut’ perlu diteruskan dengan menjadikan semangat kekeluargaan sebagai asas kebersamaan.

“Selama lima tahun kita cuba eratkan dengan slogan Poghut dan kali ini, walaupun ada sedikit perbezaan pandangan ataupun berlainan prinsip, tetapi jangan putuskan silaturahim.

“Semoga ikatan silaturahim ini terus kekal dan sepertimana sebelum ini, kita boleh bergerak berasaskan kekeluargaan, sebab itu yang lebih penting,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hameed berkata, walaupun pilihan raya membawa persaingan, beliau menekankan kepentingan menjaga hubungan antara penduduk agar ikatan yang terjalin terus berkekalan.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO kerana sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada kepimpinan UMNO kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk terus menerajui kepimpinan masyarakat di DUN Ayer Limau.

“Insya-Allah, segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan, saya akan cuba laksanakan yang terbaik.

“Kalau saya terus diberi amanah dan tanggungjawab, saya akan laksanakan tetapi kalau selain daripada saya, saya akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada calon-calon yang lain,” katanya.

Untuk rekod, Hameed merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Limau sebelum pembubaran DUN Melaka 23 September lalu.

Beliau memenangi kerusi itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 dengan majoriti 1,085 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Noordina Abd Latif yang meraih 2,753 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Maznah Baharuddin yang mendapat 798 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post AB RAUF MAHU TERUS BONGKAR SEJARAH KEHEBATAN MELAKA
Next post PRN MELAKA: TUMINAH IKRAR BERIKAN KHIDMAT TERBAIK, MAHU PANTAI KUNDOR KEKAL BIRU