
PRN MELAKA : AKMAL MAHU PENGUNDI MERLIMAU NILAI REKOD PRN LALU
AYER KEROH 25 Oktober – Mahu pengundi menilai rekod sepanjang menjadi wakil rakyat, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berharap kepercayaan yang diberikan kepadanya dapat diterjemahkan menerusi undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November ini.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau itu berkata, beliau berterima kasih kepada kepimpinan parti kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di Melaka.
“Parti sudah berikan kepercayaan, maka hari ini saya serahkan kepada pengundi dalam DUN Merlimau untuk memberikan kepercayaan kepada saya sekali lagi.
“Saya tidak ada janji yang lain, saya ada bukti yang telah dibentangkan kepada mereka dan telah dilihatkan kepada mereka di bumi Merlimau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dr. Muhamad Akmal berharap segala usaha yang dilaksanakannya sebelum ini mendapat pertimbangan pengundi ketika membuat pilihan pada hari pengundian.
“Insya-Allah saya harap segala apa yang telah saya lakukan itu akan dizahirkan dalam peti undi pada 14 November nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


