PRN MELAKA: AB RAUF TUNGGU LAPORAN SEBELUM BUAT KESIMPULAN ISU MCA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh masih menunggu laporan berhubung tindakan kepimpinan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum membuat kesimpulan mengenai perkembangan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti keseluruhan laporan berkenaan terlebih dahulu sebelum menentukan pendirian terhadap isu yang mencetuskan perhatian pada malam tadi.

“Saya sedang menunggu semua laporan, baru saya buat balik semula kesimpulannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Bakti Siswa Madani di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama pemimpin parti itu meninggalkan majlis berkenaan sebagai bantahan terhadap proses pengagihan kerusi yang didakwa dibuat tanpa rundingan dan persetujuan parti itu.

Ka Siong mendakwa MCA sebelum ini dimaklumkan bahawa majlis berkenaan hanya membabitkan pelancaran jentera pilihan raya, namun mendapati agenda turut merangkumi pengumuman calon BN.

Beliau turut menegaskan MCA tidak akan mengiktiraf calon yang diumumkan bagi pihak parti itu tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi MCA.

Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban, namun hanya memenangi Machap Jaya serta Klebang.

BN pada malam tadi mengumumkan calon bagi 21 kerusi DUN Melaka, termasuk dua penyandang MCA, Datuk Ngwe Hee Sem di Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TOK AJAK JANJI TERUSKAN KHIDMAT, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN DI TELOK MAS
Next post PRN MELAKA: NADARAJAH TEKAD PERTAHAN GADEK, BANTU BN TAMBAH KERUSI DUN