PRN MELAKA: BN PILIH TONJOL HASIL KERJA, BUKAN BURUKKAN LAWAN – MOHD NOOR HELMY

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 26 Oktober – Rekod pelaksanaan pelbagai inisiatif rakyat dan janji yang ditunaikan menjadi sandaran kempen Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Penyandang kerusi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, jentera BN akan mengutamakan pendekatan kempen sihat dengan mengetengahkan hasil kerja sepanjang tempoh pentadbiran, tanpa memburukkan pihak lawan.

Katanya, pendekatan itu memberi ruang kepada pengundi menilai sendiri usaha pembangunan dan pentadbiran yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Kita amalkan budaya sihat, kita tidak bawa budaya fitnah, kita tidak perlu bergaduh, kita tidak perlu saling memburuk-burukkan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka merangkap Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam dan Ketua MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo.

Mohd Noor Helmy berkata, tempoh pentadbiran sejak 2021 memberi ruang kepada wakil rakyat melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan DUN Duyong dan Telok Mas terus dibangunkan serta ditadbir dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh jentera parti termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli veteran supaya bergerak bersama bagi melaksanakan amanah yang diberikan kepada calon BN.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan BN Melaka atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan calon Telok Mas, Abdul Razak, untuk terus mewakili kawasan masing-masing pada PRN kali ini.

“Datanglah bawa hujan ribut sekali pun, kita sambut, kita terima dengan senyuman sebab kita di Melaka telah bersedia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN PERKUKUH JR DIGITAL, KUASAI ‘SERANGAN UDARA’