HUBUNGAN KEKELUARGAAN BN KOTA MELAKA TERUS KUKUH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 27 Oktober – Kehadiran pimpinan utama MCA dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain pada pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Kota Melaka semalam membuktikan kesepakatan gabungan itu khususnya di kawasan terbabit kekal kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, hubungan baik antara parti komponen BN terutamanya di kawasan itu cukup baik selain tidak berdepan sebarang masalah.

Mengulas lanjut Abdul Razak yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kehadiran pimpinan UMNO, MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) pada majlis berkenaan.

“Semalam kita baru sahaja mengadakan pelancaran jentera pilihan raya dan ia dihadiri kepimpinan MCA bukan hanya datang seorang tetapi bersama jentera mereka.

“Ketua UMNO bahagian ada, Pengerusi MCA Kota Melaka, Pengerusi MIC termasuk Pengerusi KIMMA. Yang datang bukan wakil tetapi pengerusi ini maknanya kita di Kota Melaka ‘okay’, tiada masalah,” katanya.

Abdul Razak berkata demikian ketika ditemui selepas Program KPT SISWA UTeM Prihatin @ Melaka 2026 di Masjid Al-Wathoni, Bukit Larang, semalam.

Terdahulu, majlis disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan hadir sama Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Menurut Abdul Razak, kesepakatan itu menunjukkan parti komponen BN di kawasan berkenaan terus memberikan komitmen dalam memperkukuh kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

“Sekiranya ada masalah tidak mungkin semua (pengerusi) yang hadir ia berkemungkinan hanya ada wakil sahaja.

“Hubungan kekeluargaan BN cukup kuat, insha-Allah tiada masalah kerana kita tahu dan kita berpegang atas asas BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post REKOD KHIDMAT LIMA TAHUN JADI ‘SANDARAN’ TOK AJAK