MENARA TAMING SARI ANGKAT WARISAN, HIDUPKAN TRADISI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KOTA LAKSAMANA 30 Oktober – Menara Taming Sari bukan sekadar menawarkan panorama bandar bersejarah dari ketinggian 80 meter, malah turut memperluas peranannya sebagai platform mengangkat seni, budaya dan warisan tradisional Melaka menerusi penganjuran pelbagai acara komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, pelbagai program berskala kecil atau ‘pocket event’ dirancang menjelang penghujung tahun ini dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteraskan komuniti serta warisan tradisional.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkayakan pengalaman pengunjung, selain mendekatkan masyarakat dengan seni dan tradisi turun-temurun yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini.

“Untuk hujung tahun ini, seperti biasa, kami akan melaksanakan pocket event yang bersifat komuniti, selain acara berteraskan warisan dan program tradisional untuk mendekatkan masyarakat dengan budaya serta tradisi turun-temurun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Penghargaan Warga MTSB 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MTSB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

855833546 40069179732668963 2338880865699173163 n
NUR Azan mengiringi Abdul Razak menyampaikan hadiah cabutan bertuah utama pada Majlis Makan Malam Penghargaan Warga MTSB 2026. Foto Menara Taming Sari

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad serta lain-lain kenamaan.

Nur Azan berkata, sepanjang 18 tahun beroperasi, MTSB terus memberi penekanan terhadap peningkatan mutu perkhidmatan dan profesionalisme bagi memastikan pengunjung memperoleh pengalaman terbaik ketika berkunjung ke Menara Taming Sari.

Beliau berkata, komitmen warga kerja turut menjadi elemen penting dalam memastikan kelancaran operasi serta mengekalkan kedudukan menara berkenaan sebagai antara tarikan pelancongan utama Melaka.

Dalam usaha mempelbagaikan pengalaman pelancong, ujarnya, MTSB turut bekerjasama dengan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bagi memperkukuh tarikan sedia ada dan merancakkan pengisian aktiviti untuk pengunjung.

“Usaha mempelbagaikan aktiviti pelancongan itu diharap dapat memperkukuh daya tarikan Menara Taming Sari, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pengunjung untuk menikmati keunikan warisan, seni dan budaya Melaka,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN SAH TANDING DI 23 KERUSI DUN
Next post MAIM BANTU ‘A TO Z’, USAHAWAN SATE MENGORAK LANGKAH