
IBU BAPA HARGAI SOKONGAN TOK HAMEED TERHADAP ANAK ISTIMEWA
AYER LIMAU 31 Oktober – Sokongan kepada keluarga yang membesarkan anak berkeperluan khas amat bermakna, terutama apabila kos penjagaan dan keperluan harian memerlukan komitmen kewangan yang besar.
Bapa kepada seorang anak dengan kelewatan perkembangan (Global Developmental Delay), Nor Lizam Rajulan, 45, berkata, penganjuran Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Syurga DUN Ayer Limau memberi ruang kepada anak istimewa diraikan, selain membolehkan keluarga mereka merasai sokongan pemimpin dan masyarakat.
Menurutnya, program anjuran penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer itu sudah memasuki tahun keempat penganjurannya dan terus memberi manfaat kepada anak istimewa dari kawasan berkenaan.
“Pembangunan yang dijalankan di DUN Ayer Limau ini menyeluruh, sehinggalah kepada anak-anak istimewa yang turut mempunyai tempat dan diraikan menerusi program seumpama ini.
“Bantuan yang diberikan sedikit sebanyak memberikan impak positif kepada kami, khususnya ibu bapa yang kurang berkemampuan kerana menguruskan anak berkeperluan khas bukanlah sesuatu yang murah,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Syurga DUN Ayer Limau.
Terdahulu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Utama Hamidah Khamis dan hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum.
Bapa Muhammad Talis Humai, 7, itu berkata, usaha berterusan mendekati golongan istimewa wajar diteruskan kerana anak berkeperluan khas juga berhak diraikan dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Katanya, program seumpama itu bukan sahaja memberi penghargaan kepada anak-anak berkenaan, malah membantu ibu bapa merasai bahawa mereka tidak bersendirian dalam membesarkan anak yang memerlukan perhatian khusus.
Mengulas mengenai pencalonan semula Hameed bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Limau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Nor Lizam berkata kesinambungan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat merupakan antara perkara yang diharapkan keluarga seperti mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


