PRN MELAKA: PN PERKENAL LIMA CALON, SATU LAGI DIUMUM KEMUDIAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT KATIL 29 Oktober – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima calon daripada enam kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, malam tadi.

Daripada lima calon yang diumumkan, PAS dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) masing-masing mempertaruhkan dua calon, manakala GERAKAN meletakkan seorang calon.

PAS menampilkan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ridzuan Sarif untuk bertanding di DUN Bukit Katil, manakala Timbalan Yang di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad dipertaruhkan di DUN Paya Rumput.

WAWASAN pula menampilkan Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang juga penyandang kerusi DUN Bemban untuk mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Timbalan Ketua WAWASAN Kota Melaka, Albert Kok akan bertanding di DUN Kesidang.

Sementara itu, Pengerusi GERAKAN Melaka, Michael Gan diumumkan sebagai calon parti itu bagi DUN Ayer Keroh.

PN memaklumkan calon bagi DUN Kota Laksamana akan diumumkan dalam tempoh terdekat, melengkapkan senarai enam kerusi yang akan ditandingi gabungan itu pada PRN kali ini.

Terdahulu, Presiden GERAKAN Datuk Seri Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) bakal bertanding di 22 daripada 28 kerusi DUN untuk ditandingi, manakala baki enam kerusi diperuntukkan kepada PAS dan rakan strategiknya menerusi rundingan pembahagian kerusi.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober ini, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: DR. YADZIL KEKAL PERTAHAN DUN BEMBAN
Next post ‘USAHA SAYA HARI INI DEMI KESELESAAN GENERASI MELAKA AKAN DATANG’ – AB RAUF