
PRN MELAKA: PN SETUJU SERAH KERUSI BANDAR HILIR KEPADA MCA
BUKIT KATIL 30 Oktober – Perikatan Nasional (PN) bersetuju memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 susulan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan.
Pengerusi PN Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan persetujuan itu ketika ditanya pemberita mengenai keputusan menyerahkan kerusi berkenaan kepada MCA.
“Yes, yes, yes,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Bukit Katil, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden GERAKAN Datuk Seri Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan parti itu memperoleh kerusi tambahan di DUN Bandar Hilir selepas rundingan akhir antara Barisan Nasional (BN) dan PN dimuktamadkan.
MCA menamakan Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jasmine Lok Huey Yee, 38, sebagai calon bagi kerusi berkenaan, sekali gus menjadikan parti itu bertanding di tiga kerusi DUN, termasuk Machap Jaya dan Klebang.
Perkembangan itu menyaksikan BN akan bertanding di 22 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala PN bertanding di enam kerusi pada PRN kali ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada calon keenam PN yang belum diumumkan akan bertanding di DUN Kota Laksamana, Ahmad Samsuri bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi yang akan ditandingi calon berkenaan.
“Tak perlu sebut kerusi mana-mana, tapi ada akan ada satu kerusi untuk PN,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut, PN mengumumkan lima calon bagi PRN Melaka, iaitu Ridzuan Sarif di DUN Bukit Katil dan Rafie Ahmad di DUN Paya Rumput mewakili PAS, Dr. Mohd Yadzil Yaakub di DUN Bemban serta Albert Kok di DUN Kesidang mewakili Parti Wawasan Negara (WAWASAN), manakala Michael Gan mewakili GERAKAN di DUN Ayer Keroh.
PN memaklumkan calon bagi satu lagi kerusi yang akan ditandinginya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Oktober, pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


