PRN MELAKA: GABUNGAN PN-BN MAMPU CABAR DAP DI KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BUKIT KATIL 30 Oktober – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Kok, berharap sokongan pengundi Melayu dapat membantu gabungan itu memberi saingan kepada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Calon Parti Wawasan Negara (WAWASAN) itu berkata, berdasarkan penilaiannya, jumlah pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya terdahulu antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha meraih sokongan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN berpotensi memberi kesan kepada persaingan di Kesidang, khususnya dalam usaha menggabungkan sokongan pengundi daripada pelbagai latar belakang.

“Bila PN dengan BN bergabung, saya rasa itu impak yang kuat. Kita boleh menyaingi DAP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, malam tadi.

Albert berkata, berdasarkan kajian yang dilakukannya, gabungan dan sokongan daripada pengundi MCA, GERAKAN serta pengundi Melayu yang menyokong mereka berpotensi memberikan saingan dalam perebutan kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memberi perhatian kepada calon serta pendekatan yang ditawarkan, selain keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

Dalam pada itu, Albert berkata, beberapa isu setempat di Kesidang perlu diberi perhatian, antaranya masalah banjir berulang di Taman Merdeka dan kemudahan awam yang memerlukan penyelenggaraan serta penambahbaikan.

Katanya, kemudahan infrastruktur termasuk bangunan usang dan taman permainan kanak-kanak yang mengalami kerosakan antara yang akan diperjuangkan bagi memastikan persekitaran lebih selamat dan selesa untuk penduduk.

“Kalau ikut dari segi infrastruktur, banyak yang kita perlu ‘touch-up’, iaitu dari segi bangunan usang dan kemudahan rekreasi yang tidak diselenggara.

“Begitu juga isu banjir yang masih berlaku di Taman Merdeka dan masalah penyuraian trafik yang perlu diambil berat bagi memastikan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Kerjasama PN-BN menyaksikan BN akan bertanding di 22 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di enam kerusi pada PRN kali ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MCA BERTANDING EMPAT KERUSI, MELVIN CHUA CALON KOTA LAKSAMANA
Next post EMPAT ASPEK PEMBANGUNAN BELIA JADI KEUTAMAAN MELAKA