PRN MELAKA: MCA BERTANDING EMPAT KERUSI, MELVIN CHUA CALON KOTA LAKSAMANA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 30 Oktober – MCA akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas diberikan tambahan kerusi Kota Laksamana menerusi persetujuan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas PN secara sukarela menyerahkan kerusi berkenaan kepada BN bagi memberi laluan kepada MCA bertanding.

Katanya, pertambahan itu menjadikan MCA akan bertanding di DUN Machap Jaya, Klebang, Banda Hilir dan Kota Laksamana.

“Hari ini pucuk pimpinan BN setelah berbincang dan telah membuat kata putus terakhir yang mana MCA sekali lagi diberi mandat untuk bertanding di DUN Kota Laksamana.

“Setelah mendapat persetujuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Melvin Chua Kew Wei yang juga Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dipilih untuk mewakili BN di DUN Kota Laksamana,” katanya ketika mengumumkan calon MCA bagi kerusi berkenaan di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, meskipun Kota Laksamana dan Banda Hilir bukan kerusi mudah untuk dimenangi, MCA tetap bersedia menghadapi cabaran serta memberikan saingan dalam pilihan raya kali ini.

“Seperti saya telah maklum sejak beberapa hari lalu MCA telah bersiap siaga untuk menyahut dan menerima apa juga cabaran serta dugaan demi untuk bersama dengan rakyat.

“Kita tidak gentar dan menghantar calon untuk bertanding di Kota Laksamana misalnya meskipun kerusi ini dan Banda Hilir tidak mudah,” katanya.

Pertambahan kerusi Kota Laksamana itu menjadikan BN akan bertanding di 23 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN pada PRN Melaka Ke-16, manakala baki lima kerusi diperuntukkan kepada Perikatan Nasional (PN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post PPSPM GANDA TARIKAN MELAKA RIVER CRUISE, ADD-ON SERENDAH RM5
Next post PRN MELAKA: GABUNGAN PN-BN MAMPU CABAR DAP DI KESIDANG