
MUCM CIPTA REKOD 62 HAK CIPTA SEHARI, TERTINGGI BAGI UNIVERSITI
BUKIT KATIL 30 Oktober – Manipal University College Melaka (MUCM) melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya mendaftarkan 62 hak cipta dalam tempoh sehari menerusi penglibatan 27 kakitangannya, sekali gus meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi jumlah pendaftaran hak cipta tertinggi oleh sebuah universiti.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen MUCM dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi, selain menggalakkan warga akademiknya menghasilkan idea kreatif yang boleh dilindungi sebagai harta intelek.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) MUCM, Profesor Madya Dr. Anthony V. Samrot berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian penting bukan sahaja kepada universiti, malah kepada kakitangan yang menyumbangkan idea dan usaha dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
“Pencapaian ini bukan sahaja satu kejayaan untuk institusi, tetapi juga untuk semua kakitangan yang mempunyai idea tersendiri dan berusaha menghasilkan sesuatu yang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima pengiktirafan MBOR di MUCM, di sini.
Dr. Anthony yang turut tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia berkata, MUCM kini menyasarkan pendaftaran 100 hak cipta, selain meneroka peluang menghasilkan permohonan paten bagi penyelidikan yang mempunyai potensi.
Sementara itu, Naib Canselor MUCM, Profesor Dr. Jayakumar Gurusamy berkata, universiti bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah perlu menjadi platform untuk menghasilkan pengetahuan baharu menerusi penyelidikan dan inovasi.
“Matlamat akhirnya bukan sekadar mempunyai rekod atau hak cipta di atas kertas, tetapi memastikan ilmu dan hasil penyelidikan ini dapat memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, MUCM turut memberi penekanan terhadap kerjasama dengan universiti lain, industri dan agensi kerajaan bagi memperluas skop penyelidikan serta memastikan hasilnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

