LEBIH 30,000 KANAK-KANAK DI MELAKA TERIMA MANFAAT PENDIDIKAN AWAL KEMAS

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 31 Oktober – Lebih 30,000 kanak-kanak di Melaka menerima manfaat pendidikan awal menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam tempoh lima tahun lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu mencerminkan peranan penting KEMAS dalam menyediakan akses pendidikan awal khususnya kepada anak-anak masyarakat luar bandar.

Menurutnya, sumbangan agensi berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan, malah diperluaskan kepada latihan kemahiran dan pelbagai program pembangunan komuniti.

“Jika kita lihat sumbangan KEMAS kepada rakyat Melaka dalam tempoh lima tahun, peranan yang cukup luas menerusi pendidikan awal kanak-kanak, lebih 30,000 kanak-kanak telah menerima manfaat.

“Dalam bidang latihan kemahiran pula, lebih 500 telah menerima manfaat melibatkan peruntukan melebihi RM750,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GeMMa Desa) Negeri Melaka 2026 di Dewan FELCRA Berhad Ramuan China, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ab Rauf berkata, KEMAS yang telah berkhidmat lebih enam dekad kekal dekat dengan masyarakat kampung, khususnya melalui pendidikan awal, kelas jahitan, masakan dan latihan meningkatkan kemahiran.

Katanya, peranan itu perlu diteruskan bagi memastikan masyarakat desa tidak terpinggir daripada peluang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid atas komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan desa serta usaha memastikan manfaat kerajaan sampai kepada masyarakat luar bandar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post BERBEZA PARTI BUKAN ALASAN PUTUS SILATURAHIM – ALONG
Next post PRN MELAKA: PERTEMBUNGAN EMPAT PENJURU DI ENAM DUN