MUZIUM KAPAL SELAM TAMPIL WAJAH BAHARU, SEDIA PIKAT PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KLEBANG 1 November – Muzium Kapal Selam kini tampil dengan wajah baharu selepas kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan selesai dilaksanakan, sekali gus memperkukuh daya tarikan ikon pelancongan itu sebagai antara destinasi pilihan pengunjung di Melaka.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, kerja penambahbaikan itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kerajaan Negeri bagi memastikan aset warisan maritim negara terus terpelihara.

Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja meningkatkan keadaan fizikal muzium, malah memberikan imej lebih segar dan persekitaran yang selesa kepada pengunjung.

“Usaha penyelenggaraan ini bukan sahaja memastikan keadaan Muzium Kapal Selam lebih terpelihara, malah memberikan imej baharu yang mampu meningkatkan tarikan pengunjung ke muzium.

“Seperti yang kita maklum, Muzium Kapal Selam ini antara lima muzium popular di Melaka dan menerusi kerja penyelenggaraan ini ia akan memberikan nilai tambah dalam menggamit kehadiran lebih ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan Muzium Kapal Selam yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki di Muzium Kapal Selam, Klebang, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri, Norena Jaafar dan Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Ismail Othman.

Mengulas lanjut, Erne berkata, penyelenggaraan itu juga penting bagi memastikan kapal selam yang menyimpan nilai sejarah maritim negara terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan sebagai medium pendidikan kepada masyarakat.

Katanya, penambahbaikan berkenaan turut memberikan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung yang berpeluang mengenali sejarah serta kepentingan aset maritim negara menerusi pameran di muzium berkenaan.

“Sekarang Muzium Kapal Selam sudah berwajah baharu dan ini akan memberikan keselesaan serta pengalaman lebih menarik kepada pengunjung yang datang.

“Diharapkan penambahbaikan dilakukan ini dapat memastikan muzium terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan termasuk luar negara, sekali gus menyokong perkembangan sektor pelancongan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF PENCAWANG ELEKTRIK PEMANGKIN PEMBANGUNAN SELANDAR
Next post ‘JANJI RAZAK’ BUAT PENDUDUK TELOK MAS