
TLDM, PERZIM BERGANDING BAHU PULIHARA MUZIUM KAPAL SELAM
KLEBANG 4 November – Kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerusi konsep kerjasama awam-tentera (CIMIC) berjaya memperbaharui penampilan Muzium Kapal Selam di Klebang menerusi kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan selama lima hari.
Pegawai Staf II Sekretariat Markas Tentera Laut, Leftenan Komander Ismail Hashim berkata, inisiatif bermula 26 hingga 30 Oktober lalu itu membabitkan kira-kira 30 anggota Markas Tentera Laut bersama kakitangan Kerajaan Negeri dan PERZIM.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan itu antaranya meliputi aktiviti mengecat bahagian luar serta penambahbaikan aspek visual kapal selam berkenaan bagi memastikan kawasan muzium terus terpelihara dan menarik untuk dikunjungi.
“Sepanjang kerja penyelenggaraan berlangsung, kami mendapat kerjasama penuh daripada Kerajaan Negeri dan PERZIM, termasuk sokongan dari segi logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan Muzium Kapal Selam yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki, di Muzium Kapal Selam, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri, Norena Jaafar; Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah dan Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Ismail Othman.
Ismail berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memperkemas penampilan muzium sebagai salah satu produk warisan dan tarikan pelancongan negeri, malah menjadi platform untuk memperkenalkan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada masyarakat.
Katanya, kerjasama seumpama itu wajar diteruskan secara berkala kerana mampu membuka lebih banyak peluang kepada ATM dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kerjasama sebegini berpotensi untuk diteruskan dan kita boleh melakukannya secara berkala pada masa hadapan.
“Usaha ini bukan sahaja dapat memelihara aset warisan maritim, malah secara tidak langsung mengeratkan hubungan strategik antara pihak yang terlibat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


