PELABUR ASING PERLU TINGGALKAN KEPAKARAN BUKAN SEKADAR MODAL – FADILLAH

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KUALA LINGGI 4 November – Pelaburan asing yang dibawa masuk ke negara ini perlu meninggalkan legasi kepakaran dan teknologi kepada tenaga kerja tempatan, bukan sekadar membawa masuk modal serta mengaut peluang pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setiap pelaburan antarabangsa perlu disusuli komitmen memperkasa syarikat tempatan menerusi penglibatan dalam keseluruhan rantaian nilai industri, termasuk aspek pembekalan dan pembangunan tenaga profesional.

Katanya, pemindahan teknologi serta latihan kemahiran perlu menjadi antara keutamaan pelabur bagi memastikan rakyat tempatan turut menguasai teknologi yang dibawa masuk.

“Pendekatan itu penting supaya manfaat pelaburan bukan hanya tertumpu kepada syarikat antarabangsa, sebaliknya turut meningkatkan keupayaan industri tempatan, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan pendapatan rakyat.

“Saya mengharapkan pelabur dari luar apabila melabur di Malaysia, bukan sahaja mencari rakan kongsi tempatan, tetapi termasuk keseluruhan rantaian nilai, daripada aspek pembekalan dan sebagainya dan berikan keutamaan kepada orang tempatan.

“Pada masa sama, latih orang tempatan supaya kita dapat melaksanakan pemindahan teknologi. Kita mahu ada peninggalan daripada pelaburan mereka yang mana bukan sahaja mereka melabur di Malaysia, tetapi turut mengangkat negara, syarikat dan rakyat kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026 di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Fadillah menyambut baik inisiatif CGN Energy International Holdings Co Ltd (CGNEI) dan Edra Power Holdings Sdn Bhd mewujudkan pusat latihan khusus bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang operasi penjanaan kuasa, khususnya teknologi turbin gas.

Katanya, kemudahan itu membuka ruang kepada pembangunan tenaga mahir tempatan yang bukan sahaja diperlukan untuk memenuhi keperluan industri tenaga, malah berpotensi meningkatkan nilai pasaran tenaga kerja negara.

Jelasnya, pembangunan kepakaran tempatan perlu bergerak seiring dengan kemasukan pelaburan dan teknologi baharu bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga profesional yang mampu mengendalikan sistem penjanaan tenaga berteknologi tinggi.

“Ini penting untuk melatih tenaga kerja di Malaysia supaya mereka bukan sahaja menjadi pekerja mahir, tetapi akhirnya dapat meningkatkan pendapatan, khususnya di Melaka.

“Mereka juga telah bersetuju untuk membuka peluang ini bukan sahaja kepada Melaka, tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post TLDM, PERZIM BERGANDING BAHU PULIHARA MUZIUM KAPAL SELAM
Next post MELAKA RANCANG EKOSISTEM PUSAT DATA AI BERKUASA SEHINGGA 2GW