
REMBIA WAJAH ALOR GAJAH, NORAZRIL MAHU BAWA LEBIH BANYAK PEMBAHARUAN
REMBIA 5 November – Kedudukan Pekan Alor Gajah sebagai pusat pentadbiran daerah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dilihat sebagai kelebihan untuk menambah baik prasarana dan imej kawasan berkenaan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu, Ahmad Norazril Abdul Aziz berkata, kewujudan pelbagai institusi pentadbiran memberikan kepentingan tersendiri kepada Rembia dalam pembangunan daerah Alor Gajah.
Ahmad Norazril yang juga calon nombor dua bagi N06 Rembia berkata, kelebihan itu merupakan peluang untuk membawa kawasan berkenaan lebih ke hadapan sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 kali ini.
“Rembia ini merupakan ibu daerah Alor Gajah. Imej Alor Gajah adalah bermula daripada DUN Rembia.
“Saya tidak melihat itu sebagai satu cabaran, tetapi saya melihat itu satu peluang,” katanya ketika menyantuni penduduk di Kedai Makan Sidang Shaari di Gerai Pasar Rembia.
Ahmad Norazril yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan sedia ada antara perkara kerap disuarakan kepada beliau sepanjang berkempen.
Selain itu katanya, aspek riadah juga akan diberikan perhatian dengan menyediakan padang dan gelanggang futsal yang dilengkapi sistem pencahayaan agar anak muda khususnya dalam melakukan aktiviti sihat pada waktu malam.
“Jika diberi ruang dan peluang, saya akan lihat perkara ini dengan lebih serius bagi menarik golongan muda khususnya untuk melakukan aktiviti yang berfaedah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau melihat hubungan semakin akrab bersama rakan strategik sebagai perkembangan positif yang diharap dapat diteruskan selepas pilihan raya.
Menurutnya, komitmen dan penyertaan rakan strategik sepanjang kempen memberi keyakinan terhadap kerjasama berkenaan untuk membawa perubahan kepada Rembia.
“Saya mengharapkan kerjasama ini berpanjangan dan membawa satu perubahan yang besar, terutamanya dalam Rembia dan secara tidak langsung dalam Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatannya turut berpaksikan konsep ‘Keluarga Rembia’ untuk menyantuni seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Ahmad Norazril berkata, perincian perkara yang ingin diperjuangkannya akan diumumkan menerusi manifesto dalam masa terdekat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


