PRN MELAKA: RAIS RANCANG WUJUDKAN PASAR PAGI TETAP DI SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI UDANG 5 November – Mewujudkan tapak pasar pagi beroperasi secara tetap di Sungai Udang antara perancangan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, kali ini.

Calon nombor 3 N11 Sungai Udang ini berkata, kemudahan itu amat perlu bagi memudahkan urusan harian penduduk, khususnya suri rumah yang berdepan kesukaran mendapatkan barangan basah seperti ayam dan keperluan dapur.

Menurutnya, ketiadaan pasar pagi menyebabkan penduduk terpaksa menunggu pasar raya besar dibuka bagi mendapatkan barangan keperluan, sekali gus mengganggu kelancaran aktiviti harian termasuk menguruskan keluarga atau keluar bekerja.

“Kekangan suri rumah di kawasan, mereka tidak ada pasar pagi. Jadi kalau nak beli barang, kena tunggu pasar raya buka mengikut waktu operasinya. Mereka perlukan pasar pagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih secara berjalan kaki bersama jentera di sekitar Taman Keris Emas, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rais berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi untuk dijadikan tapak pasar pagi berkenaan, termasuk pusat operasi kempennya ketika ini di Bandar Baru Sungai Udang yang merupakan tanah milik swasta.

Katanya, beliau berhasrat mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah bagi meneroka kemungkinan kerjasama sekiranya diberi peluang merealisasikan perancangan itu.

“Saya akan berbincang dengan pemilik tanah, bagi kerjasama mewujudkan pasar pagi di tapak itu. Atau kita cari lokasi lain yang mungkin lebih sesuai,” katanya.

Tambahnya, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pelbagai lapisan penduduk di DUN Sungai Udang, termasuk pesara tentera, penjawat awam, pekerja sektor minyak dan gas serta golongan muda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post REMBIA WAJAH ALOR GAJAH, NORAZRIL MAHU BAWA LEBIH BANYAK PEMBAHARUAN
Next post USIA BUKAN PENGHALANG, TOK RAUF MAHU ANAK MUDA KEJAR CITA-CITA