KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET MELAKA CECAH 98.8 PERATUS – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 5 November – Kadar kebolehpasaran graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti di Melaka selepas enam bulan tamat pengajian direkodkan mencapai antara 95 hingga 98.8 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan dan latihan kemahiran negeri dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.

Ab Rauf berkata, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut merekodkan kadar bekerja graduan sebanyak 99.2 peratus pada 2025.

“Melaka mempunyai 61 institusi TVET dan universiti yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran termasuk automotif, pembuatan, elektrik serta elektronik.

“Sehingga 2024, Melaka turut merekodkan 408 pemain industri daripada 18 sektor utama yang berpotensi menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) N01 Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN N03 Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, calon BN N04 Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid dan calon BN N05 Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurutnya lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sedang merangka tiga lagi pembangunan di kawasan perindustrian strategik tinggi yang dijangka mampu menjana lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan industri berkaitan.

“Pembangunan ini memerlukan penyediaan tenaga kerja berkemahiran bagi memastikan anak tempatan turut mendapat manfaat daripada perkembangan sektor perindustrian negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BANTUAN AWAL PRA-PERSEKOLAHAN BUAT ANAK TELOK MAS
Next post MAIM BANTU TAMBAH BEKALAN DARAH NEGARA