
AHMAD NORAZRIL BAWA ASPIRASI ‘KELUARGA REMBIA’
REMBIA 7 November – Kebajikan rakyat dan pembangunan infrastruktur setempat menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN) N06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Ahmad Norazril Abd Aziz menerusi aspirasi ‘Keluarga Rembia’ yang menggariskan lima teras utama pembangunan kawasan itu.
Beliau yang juga calon nombor 2 berkata, lima teras tersebut merangkumi kebajikan, pembangunan belia, sukan, kerohanian dan pembangunan bagi memastikan keperluan masyarakat setempat diberikan perhatian secara menyeluruh.
Katanya, aspirasi itu untuk menjadikan Rembia sebagai sebuah keluarga besar yang terus berkembang menerusi kerjasama erat antara masyarakat dan kepimpinan setempat.
“Halatuju kempen saya di DUN Rembia ini, kita melibatkan beberapa teras utama antaranya kebajikan, belia, sukan, kerohanian dan pembangunan, kesemua ini terangkum dalam ‘Keluarga Rembia, Semarak Rembia Keluarga Kita,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.
Mengulas keperluan penduduk yang dikenal pasti sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Rembia, Ahmad Norazril berkata, penambahbaikan infrastruktur setempat antara perkara yang kerap dibangkitkan masyarakat.
Jelasnya, meskipun tiada isu besar atau kritikal dikenal pasti setakat ini, terdapat beberapa keperluan pembangunan asas yang memerlukan perhatian termasuk keadaan jalan rosak dan kediaman yang memerlukan kerja pembaikan.
“Setakat ini tiada isu kritikal atau besar, cuma lebih kepada keperluan memperbaiki infrastruktur seperti keadaan jalan yang rosak dan kediaman yang memerlukan kerja baik pulih.
“Perkara seperti ini biasa berlaku, terutama apabila kemudahan dan kediaman semakin berusia, jadi ada keperluan untuk diberikan perhatian.
“Selain itu, maklum balas diterima daripada penduduk juga saya terima dan akan dijadikan antara panduan dalam merancang keutamaan pembangunan serta memastikan setiap keperluan masyarakat diberikan perhatian sekiranya diberikan mandat pada PRN Melaka kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


