PRN MELAKA: JANJI JASMINE BUAT RAKYAT BANDAR HILIR

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 6 November – Penyediaan kemudahan pengangkutan bagi memudahkan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan dan mengembangkan peluang untuk ekonomi orang antara agenda calon Barisan Nasional (BN) bagi N.22 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok, sekiranya diberi mandat oleh penduduk kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Calon BN nombor satu itu berkata, perkhidmatan van kesihatan dikenali sebagai ‘Jasmine Care Van’ dirancang bagi membantu warga emas yang tinggal bersendirian dan berdepan kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk ke hospital atau klinik kesihatan.

Menurutnya, maklum balas diterima sepanjang lima hari berkempen mendapati ada warga emas yang memerlukan pemeriksaan kesihatan dan rawatan tetapi menghadapi kesukaran untuk ke fasiliti kesihatan tanpa bantuan ahli keluarga.

“Ramai warga emas tinggal bersendirian atau hanya berdua dengan pasangan kerana anak-anak bekerja di luar negeri atau luar negara jadi, apabila perlu ke hospital atau klinik kesihatan ia timbul kesukaran kerana tiada orang yang boleh menemani serta membantu menguruskan mereka ini.

“Untuk itu menerusi perkhidmatan van disediakan ini pemandu bukan sahaja akan membawa warga emas ke hospital atau klinik kesihatan tetapi turut mengiringi mereka untuk mendapatkan rawatan, mengambil ubat sebelum menghantar pulang ke rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jasmine berkata, dia turut merancang menubuhkan sebuah pusat kemahiran bagi memberi peluang kepada golongan muda di kawasan berkenaan memperoleh kemahiran sebelum menceburi bidang perniagaan atau perusahaan kecil.

“Inisiatif ini adalah bagi menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan untuk terus tinggal atau pulang menjana pendapatan di Bandar Hilir.

“Persoalannya, mengapa anak-anak muda dari Bandar Hilir tidak tinggal di kawasan sendiri, sebaliknya perlu keluar untuk menjana pendapatan sedangkan Bandar Hilir adalah antara lokasi tumpuan termasuk sebagai pusat pelancongan.

“Untuk itu sekiranya diberikan mandat saya akan mencari lokasi sesuai untuk wujudkan pusat kemahiran untuk mereka mendapatkan kemahiran seterusnya menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua inisiatif berkenaan akan menjadi antara tumpuannya dalam memperkukuh kebajikan warga emas dan memperluas peluang ekonomi anak muda sekiranya diberi mandat mewakili DUN Bandar Hilir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post HEE SEM HASRAT BUKA LEBIH BANYAK DESTINASI PELANCONGAN DI MACHAP JAYA
Next post PRN MELAKA: LEBIH RM6 JUTA DISALURKAN BAGI TANGANI BANJIR AYER LIMAU – HAMEED