
PRN MELAKA: TOK MAN MAHU TELITI PUNCA BANJIR DI SERKAM
SERKAM 7 November – Pembinaan sistem perparitan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani masalah banjir jika aspek perancangan dan penyelenggaraannya tidak diberikan perhatian.
Ikhtiar mengurangkan risiko banjir antara perkara menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Man Dollah.
Azman berkata, antara lokasi kerap banjir yang akan diberikan perhatian oleh beliau adalah di Pulai
“Kawasan berkenaan sudah ada sistem saliran tetapi tetap berlaku banjir, saya bercadang mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mengenal pasti punca sebenar masalah ini.
“Kalau kita buat longkang pun, kalau tersumbat, tidak guna juga. Sebenarnya perkara ini perlu ada perancangan, jadi ada penyelesaian jangka pendek dan penyelesaian jangka panjang yang akan saya laksanakan, insya-Allah jika diberikan mandat oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Ziarah Kasih sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Kampung Berangan Enam, di sini, hari ini.
Azman berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan tindakan diambil bukan sekadar menyelesaikan masalah sementara, sebaliknya mampu memberikan penyelesaian lebih berkesan kepada penduduk.
“Insya-Allah akan ada penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang akan saya laksanakan kalau diberi mandat oleh rakyat di DUN ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

