
PRN MELAKA: TAKIYUDDIN YAKIN PN DAPAT MANDAT DI 5 DUN, HASIL KERJASAMA BN
AYER KEROH 6 November – Kerjasama erat antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi sandaran PN dalam usaha mendapatkan mandat rakyat di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua gabungan itu memberikan tumpuan kepada gerak kerja bersama bagi menghadapi hari pengundian pada 14 November ini.
Menurutnya, kesepakatan yang terjalin antara BN dan PN meningkatkan keyakinannya terhadap usaha mendapatkan sokongan pengundi di kelima-lima kawasan berkenaan.
“Kita melihat sebagaimana disebut tadi, kerjasama yang erat daripada kedua-dua pihak, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, yang sentiasa menumpukan kepada pencapaian kemenangan pada 14 November ini.
“Saya amat optimis bahawa kita dapat meyakinkan dan mendapat mandat daripada rakyat Melaka untuk kelima-lima DUN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN bagi PRN Melaka Ke-16 oleh Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Untuk rekod, PN mempertaruhkan lima calon masing-masing di DUN Paya Rumput, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang dan Bemban.
Mereka ialah Rafie Ahmad di Paya Rumput, Datuk Seri Michael Gan (Ayer Keroh), Ridzuan Sarif (Bukit Katil), Albert Kok (Kesidang) dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).
Sementara itu, BN bertanding di 23 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka berdasarkan senarai calon selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


