HAK NAJIB PERLU DIHORMATI – TAKIYUDDIN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 6 November – Perikatan Nasional (PN) yakin isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pembayaran denda RM50 juta oleh UMNO tidak akan menjejaskan kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hak setiap warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk berkaitan pengampunan, perlu dihormati tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.

Menurutnya, prinsip berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai keistimewaan kepada individu tertentu, sebaliknya merupakan hak yang perlu dihormati semua pihak.

“Kita melihat bahawa setiap orang, setiap warganegara mempunyai hak di bawah Perlembagaan. Begitulah juga pengampunan.

“Jadi, dia mendapat hak mengikut Perlembagaan, itu perlu dihormati oleh semua orang. Semua orang berhak kepada perkara itu, bukan orang yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN)-PN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga bekas majistret berkata, pembayaran denda RM50 juta itu menyelesaikan persoalan berkaitan hukuman penjara sekiranya denda gagal dilunaskan.

Beliau turut berpandangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib perlu disegerakan sekiranya terdapat peruntukan dan keputusan berkaitan yang membolehkannya dilaksanakan.

“Kalau benda itu belum dilaksanakan, kami menuntut penjelasan daripada kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, kenapa ia belum dapat dilaksanakan. Kita tuntut penjelasan terhadap kes Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Terdahulu, UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta bagi pihak Najib telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Tabung Solidariti Najib Razak mencapai sasaran kutipan menerusi sumbangan orang ramai.

Denda berkenaan merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN TUMPU RANCAKKAN EKONOMI, LUASKAN PENDAPATAN RAKYAT – MCA
Next post DEEPAVALI JADI JAMBATAN PERPADUAN, KEHARMONIAN RAKYAT MELAKA TERUS DIPERKASA – AB RAUF