DEEPAVALI JADI JAMBATAN PERPADUAN, KEHARMONIAN RAKYAT MELAKA TERUS DIPERKASA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 6 November – Sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan masyarakat Hindu, malah menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, keharmonian yang sekian lama dinikmati rakyat di negeri ini perlu terus dipelihara meskipun masyarakat mempunyai perbezaan agama, budaya dan pandangan.

Katanya, sikap saling menghormati serta kesediaan meraikan kepelbagaian merupakan asas penting dalam mengekalkan hubungan baik antara kaum, sekali gus menjadi kekuatan masyarakat Melaka.

“Kedatangan hari yang gembira ini membuktikan bahawa kesepaduan dan perpaduan antara kita dapat dijadikan lebih erat.

“Saya amat berbesar hati dan berharap masyarakat India turut bersama-sama menyemarakkan suasana kempen pilihan raya kali ini dengan semangat serta hubungan silaturahim yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi tinjauan mesra bagi melihat persiapan sambutan Deepavali di Little India, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi MIC Negeri Melaka Datuk VP Shanmugam dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Ab Rauf berharap sambutan Deepavali tahun ini dapat diraikan dalam suasana penuh kegembiraan, harmoni dan muhibah, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi identiti masyarakat Melaka.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India di Negeri Melaka.

“Walaupun kita berbeza agama dan pandangan, silaturahim antara masyarakat dan kaum di Melaka ini mesti terus dipelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post HAK NAJIB PERLU DIHORMATI – TAKIYUDDIN