‘TOK RAUF MEMANG BUAT KERJA, GEN Z RASAI PERUBAHAN KETARA DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

TANJUNG BIDARA 9 November –  Kreativiti dan pendekatan pembangunan yang dibawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, bukan sahaja memberi nafas baharu kepada pembangunan negeri, malah berjaya menarik perhatian golongan Generasi Z (Gen Z) yang melihatnya sebagai usaha membuka lebih banyak peluang untuk masa depan anak muda.

Bagi golongan muda, pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tiga tahun kepimpinan Ab Rauf bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap peluang pekerjaan, keusahawanan, sukan dan kemudahan rekreasi.

Muhammad Aqif Mohd Arif, 23, penuntut kursus perakaunandi sebuah kolej di Lembah Klang berkata antara perkara yang menarik perhatiannya ialah kesungguhan Ketua Menteri dalam menghidupkan aktiviti belia menerusi penganjuran pelbagai kejohanan sukan di peringkat negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, usaha itu membuktikan pembangunan belia diberikan perhatian, selain membuka ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan potensi dan bakat masing-masing.

“Jika bercakap mengenai pembangunan belia, bukan sukan sahaja yang penting, tetapi soal peluang pekerjaan dan ekonomi anak muda juga perlu diberi perhatian oleh Tok Rauf.

“Alhamdulillah, pelbagai usaha menarik pelaburan ke Melaka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Saya sendiri selepas tamat pengajian nanti bercadang untuk pulang dan bekerja di Melaka, secara tidak langsung inisiatif ini membantu mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar atau negeri lain untuk mencari pekerjaan.

“Bagi yang berminat dalam bidang perniagaan pula, penganjuran pelbagai program dan acara di negeri ini turut membuka peluang kepada usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, pendekatan pembangunan yang dirancang dilihat selari dengan keperluan dan aspirasi anak muda, sekali gus memberi keyakinan bahawa Melaka mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai negeri yang menawarkan masa depan lebih baik kepada generasi muda.

Mengulas pembangunan di DUN Tanjung Bidara, beliau berkata usaha menghidupkan semula Pantai Tanjung Bidara sebagai destinasi tumpuan pelancongan turut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.

6307613641657750438 (1)
MUHAMMAD Azri Fahmi.

Sementara itu, Muhammad Azri Fahmi Zainuzzaman, 19, penuntut jurusan sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan Ab Rauf sebagai pemimpin yang tegas, namun dalam masa sama bersikap terbuka, mesra anak muda dan sentiasa bersedia menerima pandangan golongan belia.

Katanya, meskipun berusia 65 tahun, Ab Rauf mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati golongan muda, sekali gus mewujudkan keyakinan bahawa suara dan pandangan mereka turut diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri.

“Pada saya, Tok Rauf membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk anak muda maju. Peluang pekerjaan selepas ini, insya-Allah, akan menjadi lebih banyak menerusi pelbagai pelaburan yang dibawa masuk ke Melaka.

“Tok Rauf memang buat kerja. Saya yang membesar di DUN ini sendiri dapat merasai perubahan yang dibawa. Rasa bangga apabila melihat Pantai Tanjung Bidara yang sebelum ini agak suram kini kembali meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Muhammad Azri Fahmi berkata, Tok Rauf turut memberikan perhatian terhadap kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan Tanjung Bidara membuktikan keperluan golongan muda tidak diketepikan dalam merangka pembangunan setempat.

Perkembangan itu memperlihatkan bahawa kejayaan sesebuah pembangunan bukan hanya diukur melalui kemajuan infrastruktur, tetapi juga sejauh mana manfaatnya dapat dirasai masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negeri.

Bagi Gen Z, Melaka yang terus berkembang bukan sekadar tempat untuk membina kehidupan, malah sebuah negeri yang berpotensi menawarkan peluang, ruang berkarya dan masa depan yang lebih cerah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘TOK MAN’ MESRA, SERING DEKATI RAKYAT SERKAM