
DARIPADA ‘CUKUP MAKAN’ KEPADA MAMPU MENYIMPAN, ANAK MUDA MELAKA KEHIDUPAN LEBIH SELESA
Perubahan itu antara impak positif yang dirasai golongan belia susulan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan bagi menyediakan peluang pekerjaan dengan tawaran pendapatan lebih baik.
Bagi Siti Nurbayah Baharun, 22, peluang menikmati pekerjaan dengan pendapatan lebih selesa membolehkannya mengurus kewangan dengan lebih teratur, malah mula membina simpanan untuk masa depan.
Anak jati Melaka itu berkata, meskipun bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh, pendapatan bulanan yang diterima kini bukan sahaja mencukupi untuk melunaskan komitmen, malah masih mempunyai lebihan untuk disimpan.
“Kalau dahulu gaji bulanan cuma cukup makan sahaja, tetapi di tempat kerja baharu masih ada lebihan. Komitmen bulanan pula tidak tertunggak.
“Alhamdulillah, semua ini saya nikmati sepanjang tempoh dua tahun Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh mentadbir Melaka. Beliau mengotakan apa yang dijanjikan kepada golongan belia.
“Saya percaya selepas ini lebih banyak peluang pekerjaan baharu dengan tawaran gaji menarik menanti anak muda, apatah lagi Melaka semakin mendapat perhatian pelabur asing yang mahu bertapak di bumi bertuah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Lebih menarik, lebihan pendapatan itu tidak dibiarkan begitu sahaja dalam akaun bank, sebaliknya dimanfaatkan Siti Nurbayah untuk membeli emas sebagai salah satu bentuk simpanan dan pelaburan jangka panjang.
Menurutnya, kemampuan menyimpan hasil titik peluh sendiri memberikan kepuasan tersendiri kerana ia membolehkannya merancang kehidupan dengan lebih baik tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.
Mengulas pendekatan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, beliau menyifatkan pembangunan yang dilaksanakan bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan sosial dan kebajikan rakyat.
Katanya, keseimbangan itu penting kerana kehidupan golongan muda tidak seharusnya tertumpu kepada pekerjaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan aktiviti sihat dan peluang untuk bersosial secara positif.
“Pentadbiran Tok Rauf juga seimbang dan holistik. Pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan kebajikan semuanya diberikan perhatian.
“Jika bekerja sahaja pasti tidak bagus. Jadi, penganjuran pelbagai program memberi peluang kepada anak muda untuk menyertai aktiviti sihat dan mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah,” katanya.
Baginya, peluang pekerjaan yang lebih baik bukan sekadar menjanjikan pendapatan bulanan, tetapi turut memberikan ruang kepada anak muda untuk membina kestabilan kewangan, memiliki simpanan sendiri dan merancang masa depan dengan lebih yakin.
Perubahan daripada sekadar cukup makan kepada mampu menyimpan itu menjadi gambaran bahawa peluang ekonomi yang lebih baik mampu membawa makna besar dalam kehidupan anak muda, sekali gus menjadi antara aspirasi pembangunan Melaka yang mahu memastikan generasi pewaris negeri tidak ketinggalan menikmati kemajuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


