KESEJAHTERAAN EMOSI WANITA PERLU DIBERI PERHATIAN

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KLEBANG 10 November – Suri rumah tidak seharusnya memendam tekanan emosi atau memaksa diri untuk sentiasa kelihatan kuat sehingga mengabaikan kesejahteraan mental sendiri, kata Pakar Perunding Psikiatri Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC), Dr. Norizan Othman.

Beliau berkata, pengaruh media sosial dan perbandingan dengan kehidupan orang lain juga boleh meningkatkan tekanan apabila seseorang merasakan dirinya perlu memenuhi standard kesempurnaan yang tidak realistik.

Menurut beliau, tekanan untuk memenuhi pelbagai tanggungjawab, sama ada sebagai suri rumah, atau wanita bekerjaya, boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

“Kadangkala, di tempat kerja, kita mampu senyum dan melaksanakan tanggungjawab, tetapi pada masa yang sama sedang berhadapan dengan tekanan emosi yang tidak diluahkan dengan selamat. Apabila emosi dan keletihan tidak diberikan perhatian, ia boleh mempengaruhi kesabaran, hubungan interpersonal serta cara seseorang bertindak balas terhadap situasi harian, termasuk ketika berinteraksi dengan ahli keluarga, terutama sekali anak-anak”

“Kita mungkin gagal kawal kemarahan, meninggikan suara, dan tanpa luar sedar mengasari mereka kerana anak-anak tidak mempunyai kuasa untuk melawan berbanding mereka di tempat kerja,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program Her Mind. Her Health. Her Future. An Awareness Session For Every Woman anjuran Suri Inspirasi dengan kerjasama OMSMC.

Dr. Norizan berkata, penting bagi setiap wanita memahami perbezaan antara tekanan harian biasa dengan masalah kemurungan yang memerlukan penilaian dan rawatan profesional.

Jelasnya, tekanan harian lazimnya berkurangan apabila punca masalah berjaya ditangani atau individu mendapat sokongan yang bersesuaian. Namun, gejala emosi yang berlarutan sehingga menjejaskan fungsi harian seperti tidur, selera makan, tumpuan dan hubungan sosial tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, wanita yang mengalami keadaan sedemikian perlu mendapatkan penilaian pakar bagi mengenal pasti punca serta menentukan bentuk bantuan atau rawatan bersesuaian.

Mengulas kepentingan mendapatkan rawatan awal, Dr. Norizan berkata, tindakan mendapatkan bantuan sebelum gejala mula mengganggu kehidupan harian dapat membantu mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

“Mesej paling penting kepada semua wanita, kita tidak perlu sentiasa kelihatan kuat dan memikul semuanya seorang diri kerana kita manusia yang bersosial dan saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kalau penat, mengaku sahaja penat dan berehat. Kita perlu jujur dengan diri sendiri dan menetapkan batas kemampuan kerana badan kita bukan robot,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan tindakan mendapatkan bantuan profesional bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah positif dalam menjaga kesejahteraan diri, keluarga dan hubungan dengan orang sekeliling.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

259
Kongsi :
Previous post GELOMBANG BIRU SEMAKIM MENGKUAT, SOKONGAN KEPADA CALON BN TERUS MENINGKAT